SK SERI TASIK

BERWAWASAN, BERPENGETAHUAN, BERAKHLAK

PERTANDINGAN REKA BENTUK MAJALAH SEKOLAH PERINGKAT WPKL 2013

Sukacita dimaklumkan bahawa SK Seri Tasik trelah berjaya merangkul tempat ketiga dalam pertandingan reka bentuk majalah sekolah peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun ini bagi keluaran majalah 2012. Adalah diharapkan bahawa sidang redaksi SK Seri Tasik dapat meneruskan kecemerlangan bagi menghasilkan majalah sekolah yang beridentiti dan menarik lagi pada tahun akan datang!

 

LET'S HOP ON BOARD!

SK Seri Tasik kini mempunyai "DASHBOARD" yang baru untuk dikunjungi! 

LARIAN MERENTAS DESA 2013

Larian merentas desa pada tahun ini telah diadakan pad hari Sabtu, 9 Mac 2013 yang bertempat di Taman Tasik Permaisuri ,Kuala Lumpur. Aktiviti ini telah disertai oleh murid tahun 4, 5 dan 6. Acara telah bermula seawal 8.15 pagi dengan aktiviti senamrobik dan diikuti dengan larian secara berperingkat dimulai oleh murid tahun 4, 5 dan 6. Acara merentas desa pada tahun ini berjaya mencungkil bakat murid yang berkebolehan dalam acara larian jarak jauh. Pungutan mata oleh setiap rumah turut dicatat dan rumah Merah menjuarai kedudukan mata.

MESYUARAT AGUNG PIBG KALI KE 11 SESI 2013/2014

Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru(PIBG) telah diadakan pada 19 Januari 2013. Mesyuarat tersebut telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada ibu bapa berdasarkan kehadiran dalam mesyuarat tersebut. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Dato' Rizalman, Penyelaras Parlimen Cheras. Penyampaian cenderamata kepada murid cemerlang 5A dan 4A bagi UPSR 2012 turut diadakan. Selain itu, penyerahan wang bantuan RM100 juga disampaikan oleh beliau. Pada akhir mesyuarat, jawatankuasa PIBG yang baru telah dilantik dan Yang Dipertua PIBG iaitu En Nasaruddin Yusof berharap agar jawatankuasa yang baru dapat melaksanakan tanggunggjawab dengan lebih baik lagi.

HARI ORIENTASI TAHUN 1 SESI 2013

Hari Orientasi Tahun 1 telah diadakan pada hari Khamis, 26 Disember 2012. Hari Orientasi Tahun 1 memberi peluang kepada murid dan ibu bapa untuk berkenalan dengan pihak sekolah sebelum bermulanya sesi persekolahan 2013. Selain itu pelbagai maklumat tentang akademik, hal ehwal murid dan kokurikulum turut disampaikan sewaktu hari orientasi.

HARI ORIENTASI PRASEKOLAH SESI 2013

Hari Orientasi Prasekolah telah diadakan pada hari Jumaat bersamaan 27 Disember 2012.

UPSR 2012

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN UPSR!!

SEMOGA BERJAYA...!

PERKAMPUNGAN UPSR 2012

Bagi memastikan murid Tahun 6 sentiasa berada di kemuncak semangat untuk mengambil peperiksaan UPSR, program Perkampungan UPSR dilaksanakan sepanjang minggu ini iaitu bermula dari 3 hingga 7 September 2012. Murid-murid menjalani sesi persekolahan seperti biasa dan diikuti dengan kelas pada waktu petang bermula dari pukul 2.30 hingga 4.30 petang. Aktiviti di sebelah malam pula dijalankan seawal 6.30 petang dimana murid berkumpul untuk bersolat maghrib berjemaah, membaca Yasin beramai-ramai, mendengar ceramah motivasi oleh Ustaz Misron,  bersolat Isyak berjemaah dan akhirnya aktiviti ditutup dengan solat hajat secara berjemaah.Adalah diharapkan semua murid mendapat manfaat sepenuhnya sepanjang program ini dan terus berusaha untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan, insyaallah...

PERTANDINGAN KAWAD KAKI PERINGKAT NEGERI WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR 2012

Pertandingan kawad kaki unit beruniform peringkat negeri telah diadakan pada 17 Julai 2012 bersamaan dengan hari Selasa bertempat di SK Danau Perdana. Pertandingan ini telah dibahgikan mengikut kategori pasukan lelaki dan perempuan. Sukacita dimaklumkan bahawa pasukan pengakap SK Seri Tasik telah menjuarai pertandingan kawad kaki bagi kategori pasukan lelaki manakala pasukan Tunas Kadet Remaja Sekolah telah memenangi tempat kedua bagi kategori pasukan perempuan. Adik Iskandar Hadi dari pasukan Pengakap pula telah dinobatkan sebagai ketua platun terbaik dalam pertandingan kali ini. Tahniah diucapkan kepada para  jurulatih pasukan Pengakap dan Tunas Kadet Remaja Sekolah kerana telah bertungkus-lumus melatih pasukan sehingga berjaya! Semoga kemenangan pada tahun hadapan akan menjadi milik SK Seri Tasik lagi!

KARNIVAL USAHAWAN INDUSTRI KREATIF 2012


Semua di jemput hadir untuk memeriahkan Karnival Usahawan Industri Kreatif 2012!

HARI TERBUKA AKADEMIK 2012

Hari Terbuka Akademik akan diadakan pada hari Sabtu, 16 Jun 2012 bermula 8.00 pagi. Semua ibu bapa adalah dijemput datang ke kelas anak masing-masing dan berjumpa dengan guru kelas berkenaan bagi mengambil keputusan peperiksaan PKSR1 yang telah diadakan baru-baru ini.

KURSUS KEPIMPINAN PENGAWAS 2012

Pada 10 hingga 12 Februari 2012 yang lalu, Badan Pengawas dan Disiplin SK Seri Tasik telah menganjurkan Kursus Kepimpinan Pengawas bagi semua pengawas Tahun 4, 5 dan 6 yang bertempat di Singgah Santai Resort, Hulu Langat Bt 14. Kursus ini telah disertai oleh seramai 84 orang peserta. Matlamat kursus ini adalah untuk mengembangkan bakat para peserta sebagai pemimpin kecil melalui pelbagai aktiviti yang telah dirancang. Antara aktiviti yang telah diadakan adalah "Blind Walk", permainan kreatif dan "Jungle Trekking". Selain itu, pihak urusetia juga turut menjemput penceramah dari luar iaitu En Mohd Saad bin Yaacob dari SMK Maluri dan En Mohd Dawi, Ketua Jabatan Bimbingan dan Kaunseling di IPG Aminuddin Baki.

 

CUTI TAHUN BARU CINA(23 - 29 JANUARI 2012)

 

 

Bersempena Tahun Baru Cina yang akan menjelang pada 23 Januari 2012, SK Seri Tasik akan bercuti selama seminggu dan sesi persekolahan akan bermula pada 30 Januari 2012(Isnin).

Oleh itu, semua murid diharapkan agar dapat memanfaatkan waktu cuti yang panjang ini dengan menyiapkan kerja sekolah yang telah dibekalkan dan mengulangkaji pelajaran. Selamat bercuti!

 

 

HARI KANAK-KANAK dan ANUGERAH HEM 2011

Sambutan Hari Kanak-kanak peringkat sekolah telah diadakan pada 25 Oktober 2011 bersamaan hari Selasa. Bersempena dengan sambutan tersebut, majlis Anugerah HEM juga turut dijalankan sekali. Majlis ini telah dirasmikan oleh Guru Besar SK Seri Tasik, Tn Hj Misman bin Mostam. Pelbagai persembahan menarik yang telah dipersembahkan oleh murid-murid menarik hati semua warga SK Seri Tasik yang hadir dalam majlis tersebut. Anugerah utama dalam sambutan Hari Kanak-kanak adalah Anugerah Tokoh Harapan Kanak-kanak dan Anugerah Tokoh Kanak-kanak. Pada tahun ini, berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan, para juri yang telah dilantik telah bersepakat untuk menobatkan adik Muhammad Faris Nur Hafiz bin Abdul Khalid dan Nur Qistina Badrisya bt Mohd Deraman sebagai Tokoh Harapan Kanak-kanak. Manakala anugerah Tokoh Kanak-kanak pula telah disandang oleh adik Aniq Naqiuddin bin Ahmad Noor dan adik Kashmira Soorya Prakas. Tahniah diucapkan kepada tokoh-tokoh Hari Kanak-kanak SK Seri Tasik! Semoga anda terus bersinar dan cemerlang pada masa-masa akan datang.

JEMPUTAN KE HARI USAHAWAN SK SERI TASIK 2011

PERMOHONAN SECARA ONLINE KEMASUKAN MURID KE SEKOLAH BERASRAMA PENUH

Suka cita dimaklumkan bahawa Permohonan Secara Online Kemasukan Murid Ke Sekolah Berasrama Penuh
bagi Tahun 2012 akan dibuka pada 1 SEPTEMBER  HINGGA 15 OKTOBER 2011.

Sila layari laman sesawang Kementerian Pendidikan Malaysia untuk maklumat lanjut.

 

MAJLIS BERBUKA PUASA DAN SOLAT TARAWIH

Adalah dimaklumkan bahawa SK Seri Tasik akan mengadakan majlis berbuka puasa dan solat tarawih pada 25 Ogos 2011 bersamaan hari Khamis. Surat maklum balas bagi kehadiran murid dan ibu bapa telah pun diedarkan. Oleh itu, kehadiran murid dan ibu bapa amatlah dialu-alukan. Selain itu, solat hajat dan slot motivasi untuk murid Tahun 6 juga akan diadakan bersempena dengan majlis berbuka puasa tersebut.

BENGKEL TEKNIK MENJAWAB SOALAN 2011

Bermula 30 Mei sehingga 29 Mei 2011, murid-murid Tahun 6 akan menghadiri Bengkel Teknik Menjawab Soalan bagi keempat-empat subjek teras UPSR. Selepas aktiviti tersebut, waktu cuti sekolah mereka akan diisi pula dengan kelas-kelas tambahan  bermula seawal jam 8.00 pagi sehingga 12.30 tengah hari mengikut jadual yang telah ditetapkan. Adalah diharapkan agar murid-murid Tahun 6 dapat hadir ke kelas yang telah ditetapkan.

SAMBUTAN HARI GURU 2011

                                                                                                                                                                                                                                                 

SK Seri Tasik telah mengadakan sambutan Hari Guru pada hari Isnin iaitu bersamaan 16 Mei yang lalu. Pelbagai aktiviti telah dirancang untuk guru-guru. Lebih menggembirakan lagi ialah SK Seri Tasik telah berada di muka hadapan akhbar Berita Harian dalam ruangan Didik.

 

MAJLIS PELANTIKAN PENGAWAS PUSAT SUMBER DAN PEMBIMBING RAKAN SEBAYA

Jawatankuasa Pusat Sumber Sekolah dan Jawatankuasa Pembimbing Rakan Sebaya SK Seri Tasik telah bergabung usaha untuk menganjurkan majlis pelantikan Pengawas Pusat Sumber dan Pembimbing Rakan Sebaya pada hari Jumaat bersamaan 6 Mei 2011.  Majlis ini bertujuan untuk menguar-uarkan kepada semua warga SK Seri Tasik akan kepentingan Pusat Sumber Sekolah dan orang yang telah dilantik untuk mengawasi pengurusan dan penggunaan pusat sumber oleh murid-murid.

Manakala Program Pembimbing Rakan Sebaya pula merupakan satu khidmat sokongan yang membabitkan murid yang telah dilantik sebagai ahli Pembimbing Rakan Sebaya dengan murid yang lain. Berpegang kepada prinsip membantu diri sendiri untuk membantu orang lain, pasukan ini telah berikrar untuk menjalankan tugas sebagai PRS dengan penuh dedikasi dan para pengawas Pusat Sumber juga turut melafazkan ikrar mereka. Adalah diharapkan semua murid yang telah dilantik dapat memikul tugas dengan penuh tanggungjawab dan bersifat amanah sepanjang masa.

       

ISTIADAT PENGANUGERAHAN LENCANA KERIS GANGSA KUMPULAN PENGAKAP 243

Pada hari Rabu bersamaan 4 Mei 2011, Kumpulan Pengakap 243 dari SK Seri Tasik telah menerima lencana gangsa setelah berjaya menamatkan perkhemahan pengakap memburu lencana gangsa pada 1 hingga 3 April yang lalu di Kem Rekreasi Lepoh. Majlis penyampaian lencana gangsa kepada semua ahli yang berjaya telah disempurnakan oleh Ketua Pengakap Negeri, Mejar(B) Haji Mior Rosli Bin Mior Jaafar. Kumpulan pengakap turut membuat persembahan di hadapan para tetamu jemputan dengan penuh bersemangat. Antara tetamu yang turut hadir adalah En Nazaruddin dari  PPW Bangsar Pudu dan En Nasaruddin selaku YDP PIBG.  Tahniah diucapkan buat semua ahli pengakap yang telah berjaya melangkah ke satu tahap yang baru dan dharapkan agar semua ahli berpegang kepada Persetiaan Pengakap yang telah diikrarkan. Selain itu, tahniah diucapkan buat semua guru yang telah terlibat secara langsung dalam menjayakan majlis ini khusus untuk Pn Norizan Salim yang telah bertungkus lumus melatih murid dan memastikan pengurusan program hari ini berjalan seperti yang dirancang. Semoga kumpulan Pengakap 243 akan lebih cemerlang pada masa hadapan!

 

SUKANEKA TAHAP 1

Pada hari Rabu bersamaan 20 April 2011, SK Seri Tasik telah mengadakan acara sukaneka bagi murid-murid tahap 1. Majlis ini telah dirasmikan oleh En Nasaruddin bin Yusof selaku Yang diPertua PIBG SK Seri Tasik. Majlis telah bermula pada pukul 2.00 petang dengan perarakan perbarisan empat buah rumah sukan. Ramai ibu bapa turut menghadiri acara sukaneka bagi memberi sokongan kepada anak-anak mereka.

 

Pelbagai acara telah dipertandingkan dan semua peserta kelihatan bersemangat untuk menunjukkan bakat dan kepantasan masing-masing. Acara sukaneka telah dimeraihkan lagi dengan upacara penyampaian hadiah dan sukacita dimaklumkan bahawa rumah hijau telah dinobatkan sebagai johan keseluruhan bagi sukaneka tahap 1 bagi tahun 2011. Di samping itu, rumah hijau juga turut berjaya menjuarai pertandingan  perbarisan dan juga khemah terbaik. Tahniah diucapkan buat Rumah Hijau! Buat rumah yang lain, jangan putus asa kerana tahun depan masih ada peluang untuk berusaha dengan lebih gigih lagi. Syabas diucapkan buat semua guru sesi petang khasnya kerana bertungkus lumus untuk menjayakan semua aktiviti yang telah dirancang.Walaupun cuaca kurang mengizinkan pada sebelah petang namun berkat usaha dan kerjasama semua guru, kesemua acara sukaneka telah berjaya dilaksanakan.

KEM PENGAKAP "MEMBURU GANGSA"

Pada 1 hingga 3 April yang lalu, SK Seri Tasik di bawah anjuran kumpulan Pengakap 243 SK Seri Tasik telah menganjurkan perkhemahan memburu Keris Gangsa dengan kerjasama PPW Bangsar Pudu dan Majlis Pengakap Wilayah Persekutuan KL. Kem ini turut disertai oleh beberapa buah sekolah lain dari Zon Pudu seperti SK Puteri Pandan, SJKC Nam Kheung, dan lain-lain.

Jurulatih yang telah terlibat dalam perkhemahan memburu gangsa ini adalah terdiri daripada Kumpulan Pengakap Kelana Kajang. Mereka telah banyak memberi tunjuk ajar kepada semua ahli pengakap yang telah menghadiri perkhemahan tersebut. Istiadat memperkenalkan ahli baru dan istiadat laung agung turut dijalankan. Antara pengalaman yang paling menarik dapat dirasai oleh semua ahli pengakap ialah pengalaman sewaktu belajar tentang ular, di mana mereka berpeluang untuk pegang ular sawa batik dan ular sawa albino.

Majlis penutup telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya Pengakap Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu Mejar(B) Mior Rosli bin Hj Mior Jaafar. Murid-murid berkumpul untuk pulang semula ke sekolah pada pukul 1.00 tengah hari. Ucapan terima kasih buat semua guru yang telah bertungkus lumus menjayakan perkhemahan ini iaitu Pn Norizan Salim dan rakan-rakan, En Nazar dari Unit Kokurikulum PPW Bangsar Pudu, Guru Besar SK Seri Tasik dan semua jurulatih dari Kumpulan Pengakap Kelana Kajang. Semoga berjumpa lagi pada perkhemahan akan datang!

PENUTUP MINGGU SOPAN SANTUN

Sepanjang minggu ini mulai 21 Mac hingga 25 Mac 2011, gabungan panitia Sivik, Agama Islam, Moral, dan Unit Bimbingan dan Kaunseling SK Seri Tasik telah menganjurkan Minggu Sopan Santun. Majlis pelancaran minggu sopan santun telah diadakan pada hari Isnin dan telah dirasmikan oleh Guru Besar SK Seri Tasik, Tn Hj Misman bin Mostam.

Pelbagai aktiviti telah diadakan antaranya ialah aktiviti membuat penanda buku, pertandingan mewarna dan pertandingan nyanyian yang bertemakan sopan santun dan juga tayangan video tentang amalan sopan santun. Acara penutup minggu sopan santun telah diserikan dengan kehadiran Ustaz Zamri dari rancangan "Marilah Mengaji TV9" sebagai penceramah jemputan. Ceramah yang telah disampaikan oleh Ustaz Zamri telah berjaya menarik minat murid tentang peri pentingnya amalan sopan santun dan menjaga adab-adab terhadap Allah, ibu bapa dan guru. Adalah diharapkan semua murid dapat menghayati setiap pesanan yang telah disampaikan dan terus menjaga adab sebagai seorang murid yang kaya dengan sopan santun dan budi bahasa.

   

MAJLIS PELANCARAN MAJALAH SINAR TASIK

 

Pada hari Isnin bersamaan 7 Februari 2011, Jawatankuasa Penerbitan Majalah SK Seri Tasik telah menganjurkan majlis pelancaran majalah Sinar Tasik. Antara objektif pelancaran majalah ini adalah untuk:

  • Mengiktiraf usaha penerbitan majalah oleh Jawatankuasa Penerbitan Majalah
  • Menghebahkan pelancaran majalah kepada seluruh warga SK Seri Tasik 
  • Membolehkan semua warga sekolah berkongsi kebanggaan atas kejayaan menerbitkan majalah
  • Menimbulkan kecintaan dan kebanggaan terhadap sekolah

Sejarah penerbitan majalah SK Seri Tasik telah bermula sejak tahun 2004 dan telah diberi nama " Sinar Tasik" di atas ilham Guru Besar, Tuan Haji Misman bin  Mostam. Sidang redaksi majalah SKST telah diberi mandat sepenuhnya untuk menghasilkan sebuah majalah sekolah yang memaparkan segala aktiviti, maklumat, hasil karya murid dan guru, galeri foto dan pelbagai ruangan yang menarik.

Saban tahun, pasukan sidang redaksi majalah SKST terus berusaha bertungkus-lumus untuk memberikan hasil yang terbaik majalah bagi setiap tahun walaupun banyak cabaran dihadapi sepanjang penghasilan majalah. Namun begitu, segala susah payah yang dilalui semasa penghasilan majalah terubat dengan tercetaknya majalah "Sinar Tasik" dan sedia untuk diedar kepada semua murid.

Adalah diharapkan majalah ini akan terus diterbitkan dan sentiasa sedia untuk melalui proses penambahbaikan untuk tahun yang mendatang.